Rasanya macam sukar nak menulis kembali. Mungkin banyak peristiwa duka yang berlaku sepanjang Akhir bulan Mei dan Awal bulan Jun dan ini adalah hari-hari yang terlalu sukar untuk saya. Hari-hari yang penuh dengan ujian dan dugaan.Bayangkan sepanjang hari – hari yang saya lalui terlalui sedih untuk dikenang. Ibaratnya dugaan saya selama ini adalah saya sedang membina sebuah istana pasir yang cukup cantik di tepi pantai. Saya jaga istana pasir itu, saya bina ia mengikut kehendak alam, dengan penuh berhati-hati agar tidak merosakkan mana-mana bahagian yang telah lengkap. Saya mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari membina istana itu tanpa tidak pernah menyangka ia akan musnah akhirnya kerana ia dibina di tepi pantai. Fenomena itu sememangnya saya tahu. Tapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Ombak hidup mengikut aturan sang Pencipta. Akhirnya istana pasir yang saya bina musnah jua dipukul ombak besar. Saya ingin menangis kerana istana pasir itu telah musnah kerana penat lelah saya membina dan menjaganya selama ini. Masakan usaha berhari-hari saya musnah dalam masa tidak lebih seminit. Sekelip mata. Begitulah ibarat peristiwa yang saya lalui.
Ujian itulah kehidupan
Allah ingin menguji saya lagi. Saya demam dan selsema. Bukan sehari dua malah hamper 12 hari dan hari ini baru saya rasa demam saya berkurangan. Ditambah pula dalam tempoh demam itu saya kena buat ujian memandu untuk dapatkan lessen kereta. Aduhai, terasa amat perit hari yang saya lalui itu. (Bukan mengeluh, tapi ekspresi rasa saya). Mungkin jua saya terlampau terkejut. Kata nenek saya ‘sabarlah, Allah baru mencubit sedikit sahaja paha kita, kita telah mengeluh panjang dan bising-bising.’ Kata-kata nenek saya betul. Tapi saya bukan mengeluh bukan tak redho, Cuma saya rasa ingin mengadu sangat-sangat kepada Allah. Kata Abusaif, kehidupan kita ini tidak dapat lari dari ujian-ujian Allah kerana ujian itulah sebenarnya kehidupan kita. Ya saya akui. Redho itu perit, Tapi Imbalannya Manis… Beberapa hari ini saya cuba mencari kekuatan diri saya untuk menerima apa yang berlaku dalam hidup saya. Saya cuba belajar erti redho. Betul, redho tidak semudah yang kita sebut-sebutkan. Redho itu perit, tapi imbalannya manis. Begitulah pesan kakak saya. Hari ini tarbiyyah tak langsung yang berguna untuk saya daripada Allah adalah saya belajar erti redho. Kata orang sabar itu adalah yang paling mulia, tapi redho itu paling tinggi selain bersyukur menerima ujian kerana antar sabar dan redho, redho itu kita perlu ikhlas menerima setiap ketentuan. Bayangkan jika anda menerima ujian yang terlalu berat, kita akan tahu apa bezanya redho dan sabar. Ia memang berbeza.
Dulu seorang sahabat saya bertanya, bagaimana mahu menjadi seorang yang redho? Waktu itu saya hanya diam tanpa memberi apa-apa respon kerana sememangnya saya tidak tahu. Hari ini, setelah saya melalui episode yang sukar dalam hidup saya, saya punyai jawapannya.
Pertama jangan terlalu mengikut perasaan dan sentiasa berfikiran positif, maka dengannya kita akan ikhlas dengan ketentuan Allah.
Kedua yakinlah bahawa apa yang diambil Allah, lalu kita bersabar, maka tidaklah Allah memberikan ganti melainkan apa yang diberi ganti itu lebih baik daripada apa yang diambil. Di sinilah perlunya sabar. Alhamdulillah hari ini saya belajar.
Berkata Umar Abdul Aziz ‘Allah tidak memberi kenikmatan kepada seseorang hambaNya dengan suatu kenikmatan kemudian Dia mengambil kenikmatan itu daripadanya. Lalu digantikanNya dengan kesabaran, melainkan apa yang dijadikan ganti itu lebih baik daripada apa yang diambilnya.’
Kembalilah kepada Allah
Sememangnya, kita tidak dapat lari daripada ujian Allah. Kerana dengan ujian itulah iman akan teruji. Saya telah menemui ramai orang yang diuji hamper sama seperti saya. Andai diikutkan nafsu dan emosi, pasti saya tidak ubah seperti orang-orang yang mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah seperti mengurung diri, merayau-rayau dan sebagainya. Nauzubillah. Alhamdulillah episod duka saya lalui itu dengan penuh terarah. Saya masih ada tempat mengadu kepada Allah sekalipun pada masa yang sama ada mulut-mulut manusia yang tidak lepas daripada membicarakan tentang manusia-manusia lain.
‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian) ‘– (Surah al-Ankabuut ;2)
Apa yang penting, kita kembalilah kepada Allah. Saya ingin ulangi kata-kata nenek saya, Allah baru sahaja mencvubit kita sedikit jika hendak dibanduingkan dengan nikmat kurniaanNya yang melangit luas. Kita jangan cepat melatah dan merasa cemas dengan ujian yang menimpa. Disinilah kebergantungan kita kepada Allah sangat diperlukan.
Al-Mutanabbi berkata, ‘Kecemasan hanya akan mengakibatkan tubuh menjadi kurus dan rambut akan beruban dan menjadi amat tua.’ Jangan membiarkan ujian itu menjadikan kita cepat tua =).
Kata William Mark Gaugil dalam pidato ilmiahnya di depan Persatuan Doktor Gigi Amerika, ‘Perasaan tidak bahagia seperti takut dan cemas sangat mungkin memberi kesan kepada penyebaran kalisium di dalam tubuh dan selanjutnya akan mengakibatkan kerosakan pada gigi’
Patutlah sepanjang saya sedih, saya selalu sakit gigi. Mungkin ini kesan sedih dari sudut kesihatan. Apapun belajarlah untuk redho kerana apabila kita redho, kita sememangnya kembali kepada Allah dan insyaAllah hati kita akan bahagia.
Wasiat Luqman Alhakim
‘Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentu engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah’
Binalah Istana untuk didiami
Syukur, terlalu banyak pelajaran saya Allah berikan untuk saya daripada ujian ini.
Pertama seperti wasiat Luqman al-Hakim lagi kepada anaknya “Wahai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan sahaja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu memberi kesengsaraan”
Keduanya, saya tidak mahu membina istana pasir lagi. Saya ingin membina istana untuk saya diami. Kali ini, saya perlu berhati-hati.
Ketiga, biarlah apa yang diperlakukan orang terhadap kita, selagi keyakinan kita pada Allah selagi itulah hidup kita bahagia.
Akhirnya saya belajar erti sabar dan redho. Amin.
sumber...iluvislam.com
No comments:
Post a Comment